Persiapkan Diri Memimpin Ummah
Disediakan Oleh : Faridz Bin Ismail
Presiden Kelab Iqra' UTHM sesi 2009-2010
Assalamu'alaikum w.b.t
Setinggi rasa kesyukuran bersama kita panjatkan kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, serta nikmat yang diberikan-Nya, kita kini telah merasai nikmat dipersaudarakan atas dasar perjuangan aqidah yang sama. Di bawah lembayung rahmat-Nya membolehkan kita terus menghirup udara nyaman & kesejahteraan sebagai seorang muslim yang tunduk patuh kepada Allah s.w.t hasil salutan iman yang dikurniakan-Nya.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasul, Muhammad s.a.w penghulu sekelian para nabi dan rasul, hasil tarbiyyah perjuangan dan pengorbanan yang diajarkan baginda kepada kita semua moga-moga terus diasimilasikan ke dalam diri bagi mencetus rasa mampu kita bagi memacu kebangkitan Islam pada era kini. Hasil perjuangan bagindalah hari ini membolehkan nikmat Islam itu terus dirasai oleh sekelian ummat-ummatnya bahkan turut dirasai kesan keadilan dan kesejahteraannya buat golongan belum lagi bergelar Muslim.
Kepimpinan, Teras Ajaran Islam Demi Memacu Ummah.
Kepimpinan atau imamah di dalam bahasa Arab, atau juga disebut sebagai qiadah merupakan persoalan dasar dan pokok di dalam Islam. Persoalan memilih dan melantik kepimpinan adalah merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang besar yang begitu banyak ditekankan di dalam Al-Quran. Salah satunya adalah seperti firman Allah di dalam surah An-Nisa ayat ke 58 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Rasul tercinta, Muhammad s.a.w selaku kekasih Allah dan juga kekasih bagi seluruh ummat Islam turut sama menekankan perihal pentingnya soal kepimpinan di kalangan ummat Islam sehinggakan di dalam perancangan melakukan sesuatu perjalanan, yakni bermusafir seramai tiga orang sahaja sekalipun, perkara yang perlu dilakukan oleh kumpulan itu ialah melantik salah seorang dari mereka sebagai ketua. Mengapakah sehingga begitu sekali Rasul s.a.w menegaskan perkara berkaitan soal kepimpinan? Tidak lain dan tidak bukan kerana dengan pemimpinlah akan terpacunya satu gagasan & halatuju bagi sesebuah perjalanan agar selamat sampai menuju ke destinasinya.
Persoalan mengatur dan mengurus tadbir organisasi, persatuan, gerakan atau di dalam bahasa arabnya disebutkan sebagai jamaah bukanlah persoalan remeh dan sekadar dilaksanakan bagi menyelesaikan tanggungjawab. Ia adalah persoalan amanah yang besar yang akan disoal semula nanti oleh Allah s.w.t. Bukan sahaja soal pengaturan dan kepimpinan sesebuah organisasi bahkan mengatur kehidupan sekali pun, kepentingan & keperluan menetapkan visi, misi dan objektif atau grand design tidak dapat diketepikan lagi bahawa ia adalah peranan kepimpinan dan pastinya akan disoal.
“Setiap dari kamu adalah orang yang bertanggungjawab (pemimpin), dan setiap dari kamu pasti akan dipersoalkan tentang apa yang dipertanggungjawabkan (dipimpin).” (Hadith Riwayat Bukhari)
Persoalan kehidupan juga begitu. Hidup perlu ditentukan arah tujunya, kerana hidup yang tidak ditentukan arahnya adalah kehidupan yang tidak tentu arah.
Persoalan penentuan halatuju dalam kehidupan turut sama diakui dari golongan barat sendiri. Di dalam buku “The 7 Habits Of Highly Effective People” karangan Steven R. Covey, antara tabiat manusia berkesan yang ke-2 yang dikemukakan beliau ialah tabiat berkaitan “Begin With The End In Mind”, memulakan sesuatu dengan pengakhiran di minda atau ringkasnya disebut sebagai penentuan matlamat. Mahu menjadi gerakan & organisasi yang berkesan, bahkan individu yang berpengaruh dan hebat mestilah melakukan sesuatu dengan bermatlamat. Malah, Allah s.w.t sendiri menciptakan segala makhluk-Nya termasuk jin & manusia dengan mempunyai tujuan serta matlamatnya tersendiri bukan secara suka-suka atau sengaja kerana sifat ‘saja-saja & suka-suka’ yang sia-sia amatlah tidak layak bagi Allah s.w.t selaku pemimpin kepada seluruh alam. Firman Allah dalam surah Az-Dzariyat ayat ke 56 hingga 58 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali mengkehendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.”
Hasil penerapan tarbiyyah Rasulullah terhadap para sahabatnya sendiri membenihkan kesedaran kepada mereka perihal pentingnya soal amanah kepimpinan dilangsaikan dengan sempurna. Ianya dibuktikan melalui peristiwa kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. Kita dapat melihat bagaimana para sahabat utama seperti saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan para sahabat ternama yang lain mengutamakan untuk menyelesaikan soal perlantikan Khalifah bagi menggantikan kepimpinan Rasulullah selaku ketua negara Madinah dan pemimpin ummat Islam terlebih dahulu berbanding mengutamakan soal menguruskan jenazah baginda. Jika difikirkan secara logik akal, mengapakah begitu tergesa-gesa para sahabat Rasulullah s.a.w sekelian untuk berhimpun di Saqifah Bani Sa’idah bagi tujuan itu. Sedangkan jenazah Rasul yang mereka cintai sendiri dibiarkan diurus oleh ahli keluarga Rasulullah. Tidakkah ia dianggap satu tindakan yang begitu gelojoh? Kenapa para sahabat tidak menunggu sehingga selesainya terlebih dahulu segala urusan berkaitan jenazah baginda sebelum melantik khalifah? Tetapi itulah penjelasan kukuh dan hujahnya bahawa Islam tidak sesekali memandang enteng dan remeh soal melantik kepimpinan. Kepimpinan adalah persoalan besar dalam jiwa ummat Islam yang memahami erti sebenar ajaran baginda Rasul s.a.w. Kerana ia sangat berkaitan soal ke manakah halatuju ummat yang akan dipimpinnya.
Bagi merealisasikan kembali harapan tinggi ummat Islam demi melihat Islam kembali dipandang mulia serta cahaya dakwahnya tersebar ke seluruh pelosok dunia, Kelab Iqra’ UTHM adalah merupakan sebahagian dari komponen kecil yang menggerakkan dakwah di atas muka bumi Allah s.w.t ini. Meskipun peranan Kelab Iqra’ tidaklah sehebat & segah berbanding usaha-usaha yang dilakukan oleh ramai lagi para du’at di atas muka bumi ini yang lain namun, jiwa muda kami turut sama rasa terpanggil oleh seruan Illahi untuk kami turun bersama memberikan sumbangan kepada gerak kerja Islam, amal islami walaupun barangkali usaha yang termampu kami lakukan hanyalah sedikit berbanding saudara-saudara kami para du’at yang lain. Firman Allah dalam surah ‘Ali-Imran ayat ke 104 yang bermaksud :
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.”
Maka, syukur atas nikmat iman yang dikurniakan Allah dalam hati kami, para pendokong Kelab Iqra’, yang menuntut kami agar berusaha gigih memperjuangkan Islam sehingga ianya meresapi masuk ke dalam jiwa-jiwa ummat khususnya mahasiswa di UTHM. Kami menyedari bahawa perjuangan ini tidak bermula dengan kami bahkan kami hanyalah penyambung risalah perjuangan yang ditinggalkan baginda Rasul s.a.w. Kami juga menyedari hakikat bahawa kami adalah penyambung kepada perjuangan yang ditinggalkan oleh saudara-saudara kami dari kalangan kepimpinan lepas yang diterajui oleh saudara Mohd Hadi Abd Rahman, mantan Presiden Kelab Iqra’ UTHM sesi 2009/2010. Ia adalah suatu amanah yang besar dan kami para pimpinan baru Kelab Iqra’ menyedari hakikat bahawa perjuangan tidak berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini. Maka, ia menuntut & memerlukan keringat dikerahkan, pemikiran dan jiwa dibesarkan & hati diteguhkan dengan keimanan yang tulus kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam surah al-kahfi ayat ke-13 & ke-14 yang bermaksud:
“Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda Yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka Dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran."
Segala usaha demi melihat semula Islam dan syiarnya kembali ditegakkan di bumi ini umumnya dan di bumi UTHM tercinta ini khususnya, mudah-mudahan dipermudahkan oleh Allah s.w.t dan mendapat keredhaan dari-Nya.
Kepada seluruh mahasiswa UTHM, ayuh bersama-sama merealisasikan agenda besar menyebarkan dakwah dan mengislahkan ummat.